Friday, February 25, 2011

komposisi dan koreografi

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, ruang membawa maksud sela-sela di antara dua bahagian, tempat atau sesuatu yang tiada batasan, dan jarak yang mengisikan sesuatu tempat. Ruang pada bahasa secara amnya boleh didefinisikan sebagai kawasan atau suatu lapangan yang membentuk suatu lingkungan bahagian. Konsep ruang dalam tari adalah sedikit berbeza, Ruang diibaratkan sebagai bahagian yang terlibat secara aktif dan membentuk sesuatu yang bersifat abstrak berkaitan juga dengan tubuh penari. Ianya juga boleh diterjemahkan sebagai tempat atau lapangan untuk melakukan sebarang bentuk persembahan. Mary Wigman menggunakan ruang secara berulang dan berterusan sebagai suatu elemen yang aktif dan bertentangan. Ruangan juga dijadikannya sebagai sebagai hasil yang terjumpa melalui eksplorasi tari yang dilakukannya dari situlah dia mencipta ruangan yang baru atau yang sedia ada dan hasil ini dijadikannya sebagai motivasi dan kaedah dalam mencipta ruang dengan gerak dan eksplorasi tari. Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan ruang ini, suka saya menambah berkaitan ruang dari aspek tubuh seorang penari. Ruangan dalam diri seorang tubuh dan jangkauan kemampuan seorang penari dalam lingkungan tubuhnya dipanggil sebagai ruangan kinesphere. Ruangan ini adalah ruangan jangkauan penuh penari tanpa melakukan sebarang peralihan. Maksudnya, tubuh menjangkau setakat mana yang mampu dijangkau oleh anggota badan yang diluruskan dan dipanjangkan seperti tangan, kaki, kepala atau badan. Ruang boleh juga dipecahkan kepada beberapa bahagian yang berkaitan seperti level iaitu paras dan peringkat dalam penggunaan ruang samada penggunaannya pada level rendah, sederhana dan tinggi dalam memvariasikan dan memberikan warna dalam permainan tingkat dan paras pada penari terutama dalam koreografi kelompok, geometri dalam ruang termasuklah arah dan dimensi meliputi hala tuju dalam tubuh dah pergerakan yang membabitkan ruangan persembahan dan ruang pada tubuh yang digunakan. Ianya membabitkan dimensi membabitkan samada pergerakan itu bersifat simetrikal ataupun tidak. Geometri ini juga berkaitan dengan rangka pada gerak dan anggaran yang akan digunakan dalam mengeksplorasi ruang menggunakan gerak yang diilhamkan dan dilakukan oleh tubuh. Bentuk adalah berkaitan dengan motif yang ingin diwujudkan. Ianya menjadi berkaitan dengan ruang kerana bentuk yang diilhamkan tergantung samada bentuknya besar, kecil ataupun sederhana yang digunakan pada ruang persembahan. Aspek lain yang turut terlibat dalam ruang termasuklah fokus, ruangan aktif, ruangan pentas, pola lantai, ruang diri, dan persekitaran. 
            Masa secara amnya boleh didefinisikan sebagai jangka waktu tertentu (durasi). Bila membicarakan tentang masa dalam persoalan dan skop tari ianya tidak dapat lari dari membicarakan persoalan tempo. Tempo dalam istilah tari bukan sahaja tentang tempo pada lagu atau muzik yang dimainkan sewaktu penari menarikan dan menggerakkan tubuhnya tetapi tempo juga adalah sesuatu yang bersifat pergerakan dan mungkin juga tempo itu ditentukan oleh daya pergerakan. Penari kadangkala mewujudkan tempo yang tersendiri yang kadangkala tidak selari dengan tempo yang terdapat pada lagu. Mungkin sekali gerak yang dilahirkan lebih pantas berbanding dengan lagunya yang perlahan atau sebaliknya pergerakan yang lambat dengan mood lagu yang sedang rancak. Tempo dalam gerak ditentukan oleh aliran gerak yang dilahirkan. Daya gerak yang mengalir lazimnya dalam bentuk yang agak perlahan mengikut aliran dan tidak dipatah-patah (staccato) atau yang tangkas (sharp) dalam daya gerak yang pantas. Masa juga boleh dikaitkan dengan momentum atau daya tolak pada pergerakan. Momentum datang sendiri dan melaluinya akan melahirkan beat atau tempo. Momentum sangat berkait rapat dengan penggunaan tenaga dan daya tolak dalam pergerakan, lantaran itu momentum yang baik mampu memberikan impak dan kesan yang besar terhadap pergerakan tari tersebut. Durasi adalah hal yang bersangkutan dengan kepanjangan atau juga dikenali sebagai tempoh. Sesuatu persembahan yang berstruktur pastinya mempunyai durasi agar sesuatu persembahan itu terlaksana dalam tempoh dan skala waktu yang tetap. Penari atau koreografer seharusnya mengambil kira durasi sebagai satu elemen dalam masa yang perlu dianggap penting bagi mengelakkan persembahan itu dalam durasi yang sesuai dengan keadaan persembahan. Elemen-elemen lain yang terdapat dalam masa termasuklah accent, stillness (pegun), ritma semulajadi yang diwujudkan oleh penari.
            Di dalam tari, tenaga digunakan untuk membekalkan kuasa. Tenaga menolak tubuh menjadikan gerak dalam tari lebih dinamik dan berkualiti. Tenaga adalah potensi besar terhadap sesuatu daya atau tekanan, jumlah kapasiti dalam sesebuah aksi atau pergerakan juga datang daripada tenaga yang dibantu dengan ketahanan daya graviti. Sebagai sebuah elemen besar dalam tari, ianya adalah sebuah entiti yang wajib dan besar yang perlu ada sama seperti masa dan ruang. Daya tekanan terjadi bersama dengan intensity pengembangan dan released pada tubuh. Tekanan juga boleh terjadi dalam skala besar yang kuat dan tegang kepada semulajadi dan normal. Laban menggunakan berat, dalam bentuk sebagai satu inisiatif mengaitkan dengan tekanan. Dinamik pula adalah interaksi dalam tekanan dalam sesuatu masa apabila penari menari secara bersama. Hasilnya akan terdapat pada aksi yang diperlihatkan oleh tubuh. Setiap pergerakan adalah dinamik ianya wujud bilamana ianya dikaitkan dengan tekanan.
IMPROVISASI
            Improvisasi adalah cerminan dari rasa sensitiviti seorang manusia untuk mampu mendaya gunakan serta menyelenggarakan dengan baik ‘aksi dan reaksi’ dalam tubuhnya sendiri. Improvisasi akan berkembang dengan baik bila faktor kualiti kemampuan manusianya sudah mencukupi . Apa yang diperlukan adalah sebuah rangka dan pelan yang kukuh dan terkonsep dengan baik agar improvisasi boleh bergerak lincah secara bebas yang akhirnya dapat menemukan dan mengisi ruang-ruang yang tersedia. Dalam tari secara umumnya improvisasi adalah hal-hal yang berkaitan dengan pergerakan yang lahir dari konsep asas penumpuan dan fokus yang terarah dan maka lahirlah sebuah gerak secara alami tetapi yang berkonsep dan bermotifkan sesuatu yang berstruktur dan bukannya mengikut sesuka hati yang mungkin sesetengah pihak beranggapan yang ianya datang secara spontan dan tiba-tiba atau dijumpai oleh penari mahupun penata tari secara drastik atau mengikut hatinya sahaja. Improvisasi sangat berkait rapat dengan penggunaan minda dan tubuh yang terarah pada satu medium yang sama dalam memberikan eksplorasi penuh terhadap gerak yang dilakukan.
            Menurut sumber yang terdapat dari Wikipedia, ‘contact improvisation’ bolehlah diistilahkan sebagai teknik dalam tari yang mana ianya memfokuskan kepada hubungan fizikal iaitu satu permulaan dalam eksplorasi melalui improvisasi pergerakan. Contact improvisation adalah cara atau bentuk dalam improvisasi tari dan ianya adalah yang diketahui umum sebagai kaedah yang terbaik dan berkarakteristik dalam acuan tari post-modern. Persembahan tari pertama yang mengetengahkan konsep contact improvisation ini adalah Steve Paxton’s Magnesium (1972) yang mana ianya dipersembahkan oleh Paxton dan pelajar tari di Oberlin College. Contact improvisation boleh dipraktikkan sebagai medium konsert secara beramai-ramai dalam bentuk kumpulan, atau juga dalam bentuk tari sosial. Dalam ketetapan sosial (masyarakat), ianya dipanggil ‘jams’ yang mana peserta yang ingin mengambil bahagian boleh terlibat dalam apa jua kaedah dan bentuk yang mereka suka dan pilih. Contact improvisation dipraktikkan duet tetapi juga boleh dipraktikkan dalam kumpulan atau juga secara solo menggunakan objek fizikal (lantai, cermin, kerusi) sebagai bahan untuk melakukan improvisasi. Kebanyakan guru yang mengajar kaedah ini sering menekankan bahawa lantai adalah pasangan pertama dalam melakukan tari atau improvisasi. Melalui kelas yang dilakukan dalam subjek ini, saya memahami bahawa contact improvisation juga sangat penting bilamana ianya berkaitan dengan kefahaman badan dua ataulebih orang penari dalam memberikan dinamik pada gerak yang ingin dilakukan. Ianya sangat melibatkan hubungan badan antara penari secara duet atau kumpulan dan bukannya penari secara solo semata-mata. Dalam proses ini, penari berhubungan memahami bahasa badan, dan keperluan melakukan pergerakan yang terhasil melalui aktiviti dan kaedah yang khusus dan bersesuaian dalam mencari hasil contact improvisation ini.
            Antara aktiviti yang sesuai dan bertepatan dengan konsep improvisasi dan contact improvisation ini adalah seperti mengatur pernafasan. Menagtur pernafasan adalah kaedah yang baik dalam memberikan focus sebelum membuat sebarang pergerakan. Sebagai seorang penari gerak yang diilhamkan mestilah berkualiti dan bukan sekadar ada dalam kuantiti yang banyak. Kualiti yang terhasil haruslah diutamakan. Mencari kualiti, focus penari atau piƱata tari haruslah terarah pada medium dan bentuk yang ingin dilahirkan. Mengatur nafas akan menimbulkan konsentrasi bila penari telah berada dalam keadaan selesa dengan nafas yang diatur tenang dan penari akan mula cuba mengeksplorasi dalam keadaan selesa tersebut dengan keadaan tubuh yang bergerak bebas.
            Aktiviti lain yang dirasakan sesuai termasuklah proses lifting, jumping, back to back, head to head, weight transfer, counter balance, falling dan sebagainya yang mana semuanya melibatkan hubungan individu bersama pasangan dan bukan secara solo. Ini adalah kaedah yang ditekankan dalam kaedah pembelajaran contact improvisation ini.
PROSES KREATIF MELAHIRKAN CIRI KHAS DALAM KOREOGRAFI
            Sesebuah proses kreatif itu menuntut sesuatu yang lahir dari diri seorang penata tari atau penari itu secara alami dan melalui proses susur galurnya yang teratur. Hasil yang lahir dari sebuah komposisi yang terbentuk secara semulajadi akan mendatangkan identiti tersendiri dalam garapan tari yang cuba dibentuk oleh penata tari. Ianya amatlah berbeza dengan hasil yang terilham secara paksa dan dibuat-buat sekadar menuntut pada kehendak dan kemahuan sesebuah tujuan, sebaliknya rasa dan idea komposisi yang ingin dilahirkan itu lahir dari diri individu itu sendiri. Terdapat beberapa peringkat dalam proses menghasilkan sesebuah komposisi khas yang antaranya termasuklah konsentrasi, improvisasi, eksplorasi, membentuk, membentuk semula (menganlisis bentuk yang ada), dan hasilnya barulah membuahkan sesebuah produk.
            Konsentrasi juga boleh diistilahkan sebagai penumpuan. Terdapat pelbagai cara dalam melahirkan konsentrasi secara cepat atau lambat. Konsentrasi akan hadir apabila nafas dalam keadaan teratur, fikiran tenang sepenuhnya tanpa memikirkan sebarang permasalahan, minda terarah sepenuhnya terhadap medium dan bahan yang ingin dicipta disamping tubuh yang benar-benar telah tersedia dengan proses kreatif yang ingin dilakukan. Melalui konsentrasi ini, idea yang asalnya diilhamkan akan dikembangkan dan dibentuk sebelum memasuki proses pencarian gerak dan motif yang bersesuaian. Pelbagai cara untuk mencapai konsentrasi dan fokus, ianya bergantung pada kesesuaiannya tehadap tubuh penari. Antaranya termasuklah memjamkan mata, bernafas melalui hidung dan dihembuskan melalui mulut. Ini antara lain tujuannya adalah untuk menenangkan fikiran serta membuang segala hal-hal yang tidak bersangkutan dengan produk yang ingin dilahirkan.
            Apabila telah mencapai proses konsentrasi, langkah berikutnya adalah melakukan improvisasi. Improvisasi yang dilakukan tidaklah semestinya lahir dalam mood dan gerakan yang perlahan semata-mata. Ianya boleh lahir secara staccato, sharp, dan berteknik terpulang kepada individu dan tahap konsentrasi yang sudah dicapai. Improvisasi itu akan terlahir bila tubuh telah benar-benar dapat mengawal serta memberikan aksi serta respon terhadap tubuh yang sedang mula ingin bergerak. Gerakan yang terlahir dari improvisasi itu terarah pada motif dan tema yang difikirkan dalam proses konsentrasi sebelum ini.
            Eksplorasi adalah satu proses dimana penari mencari dan mendalami gerak hasil dari improvisasi. Kadangkala, proses eksplorasi ini seiring dengan proses improvisasi. Apabila tiba pada satu tahap eksplorasi, penari akan menemukan suatu kualiti gerak yang baru dimana ia didasarkan pada idea dan konsep asal. Melalui proses eksplorasi ini, penari atau penata tari haruslah bijak memilih gerak yang bersesuaian dengan mesej dan tema yang diutarakan.     
            Setelah melalui tiga proses yang dinyatakan diatas, penari atau penata tari bolehlah memulakan proses seterusnya iaitu membentuk gerak seperti yang diinginkan. Gerak tari yang diwujudkan selari dengan idea dan berpadanan dengan gerakan yang diperolehi melalui proses improvisasi dan eksplorasi tadi. Setelah itu, barulah ke peringkat selanjutnya dimana penata tari atau penari menaganalisi dan membentuk semula gerak tersebut pada satu bentuk yang tetap (fix) yang menjadi gerakan muktamad untuk menghasilkan produk dalam karyanya. Dalm bentuk yang telah tetap ini barulah penari akan berpegang pada satu gerakan yang mengjhusus dan sekiranya pergerakan ini ingin disamakan atau diselaraskan ianya menjadi lebih mudah dan sistematik. Maka sebagai langkah akhirnya, ianya menjadi sebuah produk akhir yang mengutarakan mesej dan ilham idea si koreografer untuk dikongsi dan dipersembahkan kepada tontonan umum sebagai produk akhir hasil karya.

           
















Rujukan :      
Kamus Dewan Edisi Ke – 4. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Blom L. A. & Chaplin L. T. (n. d.) The Intimate Art of Choreography. Pennsylvania: University of Pittsburg Press.
Kamus Dewan Edisi Ke – 4. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kraus R., Hilsendager S. C. & Dixon Brenda. (1991) History of the Dance in Art and Education Third Edition. New Jersy: Prentice Hall.


No comments:

Post a Comment